image

Buku Pendekatan Penyelidikan Rekabentuk dan Pembangunan (PRP) yang dikenali juga sebagai Design and Development Research Approach (DDR) memaparkan salah satu pendekatan alternatif dalam bidang penyelidikan dan aplikasinya kepada bidang pendidikan. Selain daripada pendekatan Kuantitatif, Kualitatif, dan juga Mod-Campuran dalam pendekatan penyelidikan, pendekatan PRP memperkenalkan metod-pelbagai dalam menjalankan penyelidikan. Pendekatan asal DDR telah dibuat pengubahsuaian kepada tatacara dan prosedur yang boleh dipanggil sebagai modifikasi PRP. Pendekatan PRP adalah sesuai untuk kajian dan penyelidikan yang bermatlamatkan penghasilan akhir kajian yang visible seperti penghasilan model, modul, taksonomi, kerangka, indek, dan juga sesuatu inovasi baharu. Dengan adanya beberapa fasa penyelidikan yang terdapat dalam PRP ini maka pelbagai metode/teknik penyelidikan boleh digunakan termasuklah kaedah tinjauan, teknik temu bual, fenomenologi, Fuzzy Delphi Method (FDM), Interpretive Structural Modelling (ISM), Analytical Hierarchical Processing (AHP) dan lain-lain lagi terutama untuk fasa pembinaan atau fasa rekabentuk kajian. Persoalan kajian yang khusus mengikut setiap fasa iaitu fasa analisis keperluan, fasa rekabentuk dan implementasi, serta fasa penilaian yang dilaksanakan akan melengkapkan satu-satu prototaip ciptaan pengkaji kepada bentuk kebolehlaksanaan praktisnya di dunia luar.


Instructor Biography

Profesor Dr. Saedah Siraj telah menerima ijazah Sarjana Muda, Diploma Pendidikan serta Sarjana Pendidikan daripada Universiti Malaya dan ijazah PhD dalam Kurikulum dan Pengajaran daripada University of Pittsburgh U.S.A., pada tahun 1990. Beliau telah berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Pendidikan pada 2009-2014, dan pengasas Pusat Universiti Malaya untuk Pembangunan Keluarga pada tahun 2003 dan juga pengasas kepada Pusat Pengajian Masa Depan Pendidikan pada 2014. Beliau telah menerbitkan sebanyak 42 buah buku dan lebih daripada 150 artikel di peringkat nasional dan antarabangsa, serta menghasilkan 52 graduan PhD. Kini beliau adalah Profesor Kehormat Universiti Malaya, presiden Persatuan Kurikulum Malaysia dan berkhidmat sebagai Profesor di Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI sejak tahun 2018.

Dr. Muhammad Ridhuan Tony Lim Bin Abdullah adalah pensyarah kanan di Universiti Teknologi PETRONAS, Bandar Seri Iskandar, Perak sejak tahun 2008. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Malaya dengan Sarjana di bidang TESL dan Doktor Falsafah dalam Kurikulum dan Teknologi Pengajaran. Selain dari inovasi pendidikan berbantu teknologi, beliau aktif di dalam bidang kajian dan konsultasi yang melibatkan pembinaan solusi melalui pengurusan input panel pakar di pelbagai sektor industri yang tidak terbatas pada bidang pendidikan tetapi sektor lain seperti sektor perkhidmatan kesihatan, keselamatan dan persekitaran, pengurusan prestasi industri dan dasar awam terutama dalam urus tadbir kerajaan. Pendekatan kajian seperti Design and Development Research (DDR) dan kaedah seperti Fuzzy Delphi dan Interpretive Structural Modelling adalah di antara aplikasi kajian di dalam sumbangan beliau dalam sektor-sektor tersebut.

Rozaini binti Muhamad Rozkee merupakan lulusan Universiti Teknologi MARA dengan gabungan lulusan pengajian yang unik. Beliau memperoleh Diploma dalam Makmal Teknologi Perubatan tetapi beralih kepada bidang pentadbiran perniagaan dan memperoleh sarjana muda pada tahun 2014 dan sarjana pada tahun 2016 dalam bidang tersebut. Pengetahuan beliau di dalam kedua-dua bidang ini sedikit sebanyak membantu di dalam penyelidikan perkhidmatan perubatan dan perniagaan. Beliau juga tidak asing di dalam pendekatan Design and Development Research (DDR) dan kaedah-kaedah kajian seperti Fuzzy Delphi dan Interpretive Structural Modelling di dalam menyokong hasil kajian kontemporari yang berdasarkan pandangan awam (public polling) seperti kajian berbentuk korelasi atau aplikasi analisis statistik yang lain.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.