image

Subjek Falsafah dan Isu Semasa dan Penghayatan Etika dan Peradaban adalah dua kursus wajib universiti yang diperkenalkan oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik pada tahun 2019. Sebuah Jawatankuasa Pembangunan Kandungan yang dianggotai oleh 11 orang pakar bidang daripada pelbagai institusi yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Amran Muhammad (UCYP) ditubuhkan. Jawatankuasa Pembangunan Kandungan ini menggariskan roh atau semangat kepada kursus Falsafah dan Isu Semasa serta Penghayatan Etika dan Peradaban kepada lima perkara iaitu:

  • Pembentukan pemikiran analitikal, kritikal dan sintesis/ konstruktif
  • Penghayatan kesatuan ilmu, kearifan tempatan dan dekolonisasi
  • Penjelasan terhadap cabaran falsafah, sains, ideologi, ekologi dan ilmu
  • Penghayatan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara
  • Penjiwaan Falsafah Sejahtera sebagai Pentafsiran Rukun Negara

Buku ini mengandungi 9 Topik merangkumi: 1. Pengenalan, 2. Falsafah dan Kehidupan, 3. Logik dan Metodologi, 4. Psikologi dan Sosiologi, 5. Metafizik, 6. Epistemologi, 7. Ideologi Semasa, 8. Dekolonisasi, dan 9. Isu-isu Semasa. Semoga penulisan dan penyusunan buku ini dapat membantu para pensyarah sekali gus pelajar universiti awam dan swasta dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk sama-sama mencapai objektif pembinaan kursus ini.


Instructor Biography

Khairul Hamimah Mohammad Jodi, sekarang berkhidmat di Open Universiti Malaysia (OUM). Memegang jawatan sebagai Pengarah Program Mata Pelajaran Umum (MPU) dan Pengarah Program Diploma Pengajian Islam dengan Pendidikan. Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya dalam bidang Akidah dan Pemikiran Islam. Bidang kepakaran beliau adalah akhlak, pemikiran Islam, psikospiritual Islam, pembangunan remaja, kanak-kanak dan wanita. Beliau berpengalaman selama 21 tahun mengendali dan melaksanakan kursus MPU. Kini berkongsi pengalaman dan kepakaran kursus MPU di MQA dan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

 

Mohd Syariefudin Abdullah, sekarang berkhidmat di Jabatan Pengajian Kewarganegaraan dan Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Peradaban dari Universiti Malaya dan Doktor Falsafah Sosiologi Etnik dari Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang kepakaran beliau adalah dalam bidang sejarah, falsafah, sosiologi dan pengajian budaya. Berpengalaman selama lebih 20 tahun mengendali dan membantu pelaksanaan kursus MPU di Universiti Awam dan Swasta. Kini berkongsi pengalaman dan kepakaran kursus MPU di Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan UPSI.

 

Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, sekarang berkhidmat di IIUM Press, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai Penolong Pengarah. Berkelulusan Ijazah Sarjana Sastera Pengajian Melayu dari Universiti Malaya dan merupakan calon Doktor Falsafah Peradaban Islam di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia. Berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang penulisan dan penerbitan swasta. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah sambilan bagi subjek MPU seperti TITAS, Hubungan Etnik dan Bahasa Melayu Komunikasi di beberapa Universiti Awam dan Swasta.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.