Kebudayaan Dongson Di Asia Tenggara: Sejarah Kemunculan dan Perkembangan
Buku ini menjelaskan beberapa polemik yang muncul berkaitan dengan bidang arkeologi. Realitinya zaman prasejarah di Asia Tenggara seolah-olah tidak lengkap tanpa menyentuh tentang kebudayaan Dongson. Ini kerana kebudayaan Dongson adalah sebahagian daripada tema dalam urutan kebudayaan Dongson. Ini kerana kebudayaan Dongson adalah sebahagian daripada tema dalam urutan kebudayaan masyarakat zaman prasejarah di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun pemahaman mengenai kebudayaan Dongson dalam kalangan orang awam dipercayai masih kabur dan tidak begitu meluas. Selain daripada sejarah kemunculannya di luar Alam Melayu, kekeliruan ini juga berkemungkinan disebabkan oleh kurangnya penulisan berkaitan dengan kebudayaan ini. Tambahan pula kebanyakan daripada pengetahuan berkaitan dengan kebudayaan Dongson dalam kalangan orang awam masih lagi terhad hanya kepada gendang gangsa. Keadaan ini menjadi bertambah keliru apabila wujud pelbagai polemik berkaitan dengan kebudayaan ini yang ditimbulkan oleh penyelidik. Antara polemik yang sering diperkatakan ialah berkaitan dengan asal usul kebudayaan Dongson, ciri-ciri kebudayaannya, objek yang dihasilkan, fungsi, faktor penyebaran dan pengaruhnya terhadap sosiobudaya masyarakat di Asia Tenggara. Akhirnya wujudlah persepsi bahawa semua gendang gangsa adalah gendang Dongson, gendang Dongson juga adalah satu-satunya objek mutlak kepada kebudayaan Dongson. Justeru itu, kehadiran buku ini diharapkan dapat memberi informasi dalam memahami sejarah kemunculan sebuah kebudayaan awal yang pernah mewarnai landskap kehidupan masyarakat di Asia Tenggara.
Instructor Biography
Adnan Jusoh merupakan seorang Profesor Madya di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak. Memulakan pendidikan di SK Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan (1972-1978), SMR Gua Musang, Kelantan (1979-1980), SM Lemal, Pasir Mas, Kelantan (1981-1982) dan SM Tengku Raja, Lemal, Pasir Mas, Kelantan (1983-1984). Mula berkhidmat di sektor kerajaan sebagai Pembantu Tadbir N9 di Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kuala Lumpur (1992-1998). Tahun 1998-2001, melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda di UKM dengan membuat pengkhususan di dalam bidang Sejarah (Major) dan Kesusasteraan Melayu (Minor). Tahun 2002-2004, beliau meneruskan pengajian peringkat sarjana di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM dengan membuat pengkhususan di dalam bidang Arkeologi. Mulai tahun 2005 beliau meneruskan pengajian peringkat PhD dengan membuat pengkhususan di dalam bidang Arkeologi di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2010. Pada 2 Ogos 2010, mula berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak hingga kini. Selain aktif menghasilkan artikel sama ada dalam jurnal tempatan dan antarabangsa, pembentangan kertas kerja hasil daripada penyelidikan turut juga dilakukan dari semasa ke semasa.
Related Courses
Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.