product-view

Media dalam Pendidikan

Category :  E-Books
Publisher :  UPSI Press
( 79 )

$ 9.02

Description

Buku ini mendedahkan guru-guru kepada pelbagai jenis media pendidikan, eletronik dan bukan eletronik yang boleh digunakan untuk mempertingkat keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Ia dimulakan dengan perbincangan mengenai faedah penggunaan Pendekatan Bersistem dalam perancangan pengajaran guru. Sebagai golongan yang telah menerima latihan profesional, guru-guru seharusnya merancang semua aspek pengajarannya dengan teliti sebelum menyampaikannya kepada pelajar-pelajar. Pendidikan bersistem pada keseluruhannya memfokus kepada keperluan pelajar-pelajar dalam perancangan dan perlaksanaan pengajaran-pembelajaran.

Turut dibincangkan ialah media bukan-elektronik buku-buku, gambar-gambar, bahan-bahan grafik, objek-objek sebenar, glob dan peta, model atau contoh rupa, sumber manusia dan sebagainya yang masih relevan sebagai media berkesan dalam pengajaran-pembelajaran terutamanya bagi menyampaikan konsep-konsep yang mudah serta tidak melibatkan aspek animasi. Pun begitu, media dalam pendidikan tidaklah sesempit di atas. Buku ini juga memberi perhatian kepada pelbagai media eletronik kerana dapat membantu guru-guru menyampaikan konsep-konsep yang sukar serta memerlukan animasi dalam pengajaran mereka. Di antaranya ialah program-program TV Pendidikan, Radio Pendidikan, filem jalur, filem 8mm, filem 16mm, transparensi OHP, bahan-bahan bentuk mikro (microforms) dan sebagainya yang memerlukan peralatan hardware elektronik untuk menggunakannya.

Dalam era digital ini pula, komputer dan Teknologi Maklumat dan komunikasi menjadi begitu penting dalam kehidupan seharian masyarakat. Oleh itu, satu bab dikhaskan dalam buku ini untuk membincangkan sejarah penciptaan komputer peribadi, bahasa program komputer, kesan teknologi maklumat kepada individu, masyarakat dan pemerintah, internet dan aplikasi perisian komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Setelah membaca buku ini, guru-guru akan sedar betapa luasnya pilihan media yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran khasnya dan mutu pendidikan amnya.


Instructor Biography

Kassim Abbas dilahirkan di Singapura pada tahun 1941. Beliau pernah bertugas sebagai guru sekolah rendah, guru sekolah menengah, pengetua dan pegawai kanan pendidikan. Mendapat latihan asas perguruan di Maktab Perguruan Kota Bahru, Kelantan pada tahun 1959-1961. Berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Kuala Pontian, Pahang pada tahun 1962 dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Francis, Melaka pada tahun 1974 dan Sekolah Menengah Munshi Abdullah, Melaka pada tahun 1978. Mengikuti Kursus Teknologi Pendidikan selama setahun di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada tahun 1978-1979. Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Teknologi Pendidikan, Jabatan Pelajaran Melaka. Menghasilkan buku pertamanya bertajuk “Pusat Sumber Sekolah: Struktur dan Organisasi” pada tahun 1989. Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1992. Bersara dari pekhidmatan pada tahun 1995.

Copyright © 2022 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.