image

Kemahiran literasi merujuk kepada kemahiran membaca dan menulis yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak untuk digunakan dalam pembelajaran dan komunikasi harian. Namun begitu, kanak-kanak berkemungkinan mengalami masalah seperti lambat bercakap, pelat, malas membaca buku, dan buta huruf. Jika keadaan ini berterusan, kanak-kanak tersebut berisiko besar menghadapi masalah dalam pencapaian akademik atau dalam kehidupan seharian. Permasalahan ini boleh diatasi dengan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang konsep asas literasi yang dikenali sebagai kemahiran literasi awal. Buku "Kemahiran Literasi Awal: Asas Celik Huruf bagi Awal Kanak-kanak" ini menjelaskan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum mereka diajar tentang konsep literasi yang lebih formal. Kemahiran literasi awal merupakan pengetahuan asas tentang membaca dan menulis yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah. Buku ini mengandungi sepuluh bab yang menjelaskan; (i) latar belakang teori dan model; (ii) konsep kemahiran literasi awal; (ii) lima komponen kemahiran literasi awal, iaitu bahasa lisan, kesedaran cetak, kesedaran fonologi, kefahaman naratif dan tulisan awal; (iii) penekanan kemahiran literasi awal dalam kurikulum kebangsaan; (iv) pentaksiran kemahiran literasi awal; dan (v) implikasi dan cadangan. Kesemua kandungan tersebut dijelaskan secara teori dan amali dengan terperinci, mendalam, dan dibantu dengan sokongan grafik seperti jadual, rajah, gambar dan carta untuk memudahkan kefahaman pembaca. Buku ini sesuai dibaca oleh ibu bapa, guru, mahasiswa dan penyelidik untuk memahami kemahiran literasi awal dengan lebih komprehensif. Semoga buku ini dapat memberi ilmu yang bermanfaat terutamanya dalam menyokong kemahiran literasi awal kanak-kanak, seterusnya dapat membantu kanak-kanak menguasai celik huruf dengan baik.


Instructor Biography

Dr. Juppri Bacotang merupakan anak kelahiran Sandakan, Sabah. Beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak tahun 2021. Sebelum ini beliau berkhidmat di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2015 hingga 2021. Beliau menamatkan pengajian di UPSI dengan ijazah Doktor Falsafah (2019), Sarjana Pendidikan (2012), dan Sarjana Muda Pendidikan (2009) dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK). Beliau berkecimpung dalam bidang PAKK sejak tahun 2005 hingga sekarang yang memfokuskan kemahiran literasi awal, pentaksiran, kurikulum, pedagogi, dan perkembangan kerohanian. Beliau berminat menjalankan kajian dalam reka bentuk dan pembangunan, tinjauan, dan eksperimen. Beliau telah dilantik sebagai Penyelaras (Unit Penerbitan) di National Child Development Research Centre (NCDRC), UPSI pada tahun 2018. Beliau pernah menjadi Ketua Editor bagi Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan pada tahun 2019, dan Managing Editor bagi Southeast Asia Early Childhood Journal pada tahun 2021. Beliau telah banyak menerbitkan banyak artikel dan modul PAKK, khususnya berkaitan kemahiran literasi awal dalam peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dr. Zainiah Mohamed Isa merupakan bekas Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI sejak tahun 2003 hingga 2021. Beliau memiliki ijazah Doktor Falsafah (PAKK) daripada UPSI pada tahun 2013, Master in Arts Elementary Education (PAKK) daripada West Virginia University, Amerika Syarikat pada tahun 2000, dan B. A. (Honours) in Social Sciences (Sejarah & Sastera Melayu) pada tahun 1989 dan Diploma Pendidikan pada tahun 1990 daripada Universiti Malaya. Bidang kepakaran beliau adalah dalam PAKK terutamanya berkaitan bahasa dan literasi awal kanak-kanak, buku cerita kanak-kanak, sastera kanak-kanak, literasi keluarga, dan kurikulum awal kanak-kanak. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah di NCDRC, UPSI pada tahun 2015. Beliau juga banyak menerbitkan modul, buku cerita, dan artikel berkaitan bahasa dan literasi awal kanak-kanak.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.