image

Perjalanan pengalaman Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid meniti denai ilmu di kampung di bandar, di ibu kota kemudian di negara asing. Kembali ke tanah air berkhidmat sebagai pendidik, pentadbir, kemudian perancang dan pemimpin tertinggi dalam sektor pendidikan. Semua ini dilakar dengan jelas dalam buku ini supaya pembaca dapat memahami dengan benar sebuah kehidupan manusia bernama Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin bergelumang mempelopori pembaharuan dalam pendidikan negara yang pada saat ini dan sampai bila-bila kekal dalam ingat kita akan baik budi, khidmat, jasa dan baktinya kepada agama, masyarakat dan negara.


Instructor Biography

A. Halim Ali atau nama sebenarnya Abdul Halim Ali berasal dari Merchang, Terengganu. Berkelulusan ijazah doktor falsafah dalam bidang kesusasteraan Melayu. Beliau bertugas sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, Malaysia. Sebelum menjadi pensyarah beliau pernah bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah menengah di Sarawak, Terengganu dan Pahang. Beliau banyak menghasilkan karya ilmiah dan kreatif serta terlibat dalam penyuntingan buku-buku umum, di samping empat buah kumpulan puisi persendirian beliau berjudul Permintaan Alam (2000), Citra Kehidupan (2005), Melihat ke dalam diri (2015) dan Tatkala gambar berbicara (2021). Antara buku ilmiah karya yang penting hasil karya beliau ialah, Di Sekitar Puisi Melayu Moden (2004, 2007), Pengantar Teori dan Kritikan Sastera: Barat dan Malaysia (2011), Historisisme Baru Sorotan Idea dan Aplikasi Kritikan (2014), Wacana Teori dan Kritikan Sastera (2015), Kritikan Sastera: Teori dan Praktis (2018), Pengetahuan Asas Penyelidikan Dalam Kesusasteraan Melayu (2019), Kritikan Sastera: Teori dan Praktis (2018), Pendidikan Kesusasteraan Melayu: Sejarah, Perkembangan dan Kebolehpasaran (2020). Tiga buah buku tokoh yang dihasilkan bersama dengan penulis lain ialah Pak Lah dan Pendidikan (2013), `Yahya Ibrahim Ikon Pendidikan Negara` (2017) dan Zakaria Kasa: Menzahirkan Perubahan Dalam Pendidikan (2017). Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (Kategori Kritikan Sastera), 2014, Hadiah Sastera Darul Iman Terengganu kategori Buku Ilmiah dan Esei Kritikan (2018). Puisi beliau berjudul `Citra Pelangi 1Malaysia` terpilih sebagai teks kajian di peringkat sekolah menengah termuat dalam antologi` Kubentang Sehelai Peta (DBP). A. Halim juga merupakan Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) dan Presiden Persatuan Ahli Akademik Anak Terengganu (PERAPAT).

Prof. Madya Dr. Ghazali Din atau nama penanya Ihsan Noorzali dilahirkan pada 23 Disember 1963 di Kampung Tengah, Kuala Kedah, Kedah. Mendapat pendidikan awal di SK Seberang Nyonya (1970-1975) dan pendidikan menengah di SM Keat Hwa (1976-1980), Kolej Bakti (1981) dan tamat pengajian tingkatan enam di SM Tunku Abdul Malik, Alor Setar (1982-1983). Kemudian kursus Percetakan Offset di Institut Latihan Perindustrian (1985) dan menjadi wartawan sambilan akhbar Berita Harian bermula tahun 1986. Berkelulusan Bachelor Komunikasi di UPM (2003), Sarjana Penulisan Kreatif di UPSI (2010) dan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Kesusasteraan Melayu di UPSI (2016). Pernah berkhidmat sebagai Pembantu Penguasa Kastam (1987-2005), Pegawai Penerbitan di Unit Perhubungan Awam UPSI (2005-2011), pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, di FBK, UPSI (2011-sekarang), Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (2015-2019) dan Timbalan Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI (2019-sekarang). Puisi beliau dimuatkan dalam lebih 25 buah antologi puisi bersama dan lebih 300 puisinya tersiar di pelbagai media termasuklah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan lain-lain. Aktif menulis rencana untuk akhbar Berita Harian dan Harian Metro berkaitan isu semasa khasnya berkaitan mahasiswa dan kepimpinan, pendidikan, kesusasteraan, serta perpaduan nasional. Kumpulan puisi perseorangan beliau ialah Danau Di Dadaku (Percetakan Tabah, 2006), Merindu Alam (DBP, 2008), Hujan Di Tapak Tangan ( ITBM), Budiku Sehelai Daun (Naluri Kartika Resources, 2018) serta antologi bersama terbaharu Bahasa Yang Sama (Penerbit UPSI, 2018) dilancarkan oleh Sasterawan Negara , Datuk Seri (Dr) A Samad Said pada 28 September 2018. Antara pencapaiannya dalam bidang penulisan kreatif, memenangi Hadiah Pertama Sayembara Penulisan Puisi Darul Aman 1989 (puisi `Budi Bumi Tercinta’), Hadiah Penulis Berpotensi ASASI 1994/1995, Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Sempena Maulidur Rasul Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (1994, 1995, 1997, 1998 dan 2000), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1996 melalui puisi `Memancung Insani’ dan hadiah utama Hadiah Sastera Utusan-Exxon Mobil 2004 dengan puisinya `Ceritera Dari Rumah Kegelapan’ . Puisinya “Yang Tercipta Buat Kita” memenangi hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Melayu (2015). Puisinya `Kuingin Berterima Kasih’ terpilih menjadi teks Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) Tingkatan Satu sejak 2014. Puisi “Memancung Insani” (antologi Kesusasteraan Melayu Elektif Madu Ilmu, 2000-2004) dan puisi “Ceritera Dari Rumah Kegelapan” (antologi Kesusasteraan Melayu Elektif Anak Global, 2000-2004 ).

Ahmad Janatul Firdaus bin Datuk Dr Haji Dzulkarnain atau nama penanya A.J.Firdaus, P.P.N, P.P.W, P.M.P, P.P.T, P.K.T dilahirkan pada 12 Januari di Tapah Perak merupakan penulis bebas yang menulis artikel, cerpen, novel dan puisi. Beliau ialah pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang (Undang-Undang Harta Intelek), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan menerima tauliah Peguambela dan Peguamcara, Mahkamah Tinggi Malaya. Beliau pernah menghasilkan 9 buku persendirian dan 1 buku terbitan bersama, menyelenggara 4 buku dan terlibat lebih 20 antologi bersama selain penulisannya disiarkan di Utusan Malaysia, Berita Harian, akhbar Selangorkini, Majalah Wanita, Berita ITM, Buletin UPSI, Warta Kampus UPSI dan Buletin JHEPA UPSI. Antara kumpulan puisi persendirian beliau berjudul La Bola (2018), La Jalan (2018) dan La Realiti (2020). Beliau turut menjadi penyelenggara bagi Antologi Puisi Dzura (2017), Antologi Puisi PRESTASI (2009) berjudul PRESTASIERRA dan Kisa, Anekdot Senyuman Covid-19 (2020). Antara buku hasil karya beliau ialah buku Masyhur. Satu Memoir – Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain – Tokoh Pekerja Negara 2019 (2019), buku PRESTASI, Pemenang Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang (Sektor Awam) (2017), buku PRESTASI, Pemenang Anugerah Persatuan Pentadbir Terbaik (Emas) Universiti Awam (2019), buku Di Sebalik Sentuhan Pentadbir – MPP UPSI Nadi Pemimpin Mahasiswa (2017), dua buku berkaitan Kolej Tingkatan Enam, SMS MUAR (2011 & 2012) dan dua buku berkaitan Parlimen PRESTASI (2016 & 2017). Buku tokoh yang dihasilkan bersama dengan penulis lain ialah `Yahya Ibrahim Ikon Pendidikan Negara` (2017). Pernah memenangi tempat kedua dalam Sayembara 10 Muharam 1440 kendalian E-Sastera dan tempat ketiga dalam Sayembara Sastera Aidilfitri 1438 kendalian E-Sastera Malaysia pada tahun 2017 dan tempat ketiga dalam Pertandingan Mencipta Sajak sempena Bulan Integriti Bitara, UPSI pada tahun 2006. Beliau juga pernah menerima Anugerah Rencana Kakitangan Terbaik UPSI 2013, Pemenang Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) 2019, Tokoh Pentadbir Universiti Awam (Anugerah Kepimpinan Perdana MASTI 2018) dan Anugerah Tokoh Pentadbir UPSI 2015.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.