image

Buku ini membicarakan tentang prospek dan cabaran dalam sektor arkeopelancongan di Malaysia, iaitu salah satu subsektor di dalam industri pelancongan. Perkembangan terkini menunjukkan industri pelancongan adalah sektor ekonomi yang bukan sahaja popular, malahan ia semakin penting di Malaysia. Hampir setiap hari di dalam media arus perdana memperkatakan tentang isu berkaitan dengan industri pelancongan disebabkan oleh keupayaannya menjana pendapatan kepada ekonomi negara. Selain pelbagai bentuk promosi dilakukan, skim galakan dan juga inisiatif turut diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan industri pelancongan. Kesannya muncullah beberapa subsektor baru dalam industri pelancongan termasuklah sektor arkeopelancongan. Uniknya, sektor ini berupaya menggabungkan semua aspek warisan ke arah matlamat yang sama iaitu untuk menjana ekonomi negara. Walaupun sektor arkeopelancongan agak baru berkembang di negara kita, namun realitinya ia amat berpotensi untuk melonjakkan lagi industri pelancongan di negara ini ke arah yang lebih baik dan berdaya saing lebih-lebih lagi dalam konteks negara serantau. Kombinasi tapak warisan sama ada tapak arkeologi, tapak bersejarah, budaya dan alam semula jadi amat berpotensi untuk menarik kedatangan pelancong dan sekali gus dapat menjana pendapatan negara. Malahan masih banyak lagi tapak warisan yang mempunyai prospek untuk menarik kedatangan pelancong ke negara kita wajar dibangunkan dengan pelbagai kemudahan untuk menyokong perkembangan sektor ini. Namun demikian, tidak dinafikan sektor arkeopelancongan di negara ini juga menghadapi cabaran yang perlu dihadapi disebabkan oleh beberapa faktor dan ia juga akan dikupas dalam buku ini secara komprehensif. Pendek kata, keupayaan kita menguruskan tapak warisan bukan bererti kita hanya mengekalkan kelestariannya, namun ia juga berupaya menjana pendapatan negara dan seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Justeru itu, kehadiran buku ini diharapkan dapat membuka mata orang awam tentang potensi sektor arkeopelancongan di negara ini pada masa akan datang.


Instructor Biography

ADNAN JUSOH merupakan anak kelahiran Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan. Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan membuat pengkhususan di dalam bidang Arkeologi. Pernah bertugas sebagai Pembantu Tadbir N9 di Bahagian Pinjaman Perumahan, Kuala Lumpur (1992 - 1998), Kurator di Jabatan Muzium dan Antikuiti (kini Jabatan Muzium Malaysia) (2001 - 2005) dan Pegawai Warisan di Jabatan Warisan Negara (2005-2010). Kini bertugas sebagai Profesor Madya di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Selain aktif menghasilkan artikel, beliau juga sering membuat pembentangan kertas kerja hasil daripada penyelidikan yang dilakukan dari semasa ke semasa. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel di [email protected].

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.