image

Bidang pemikiran sebagai salah satu disiplin falsafah moden menjadi teras dalam sistem ilmu pendidikan milenium ke-21. Buku ini berhasrat mencuba mengemukakan teori bagaimana cara dan kaedah mendidik, menyedari, memahami, menghayati dan mempraktiskan bidang pemikiran dalam proses pembelajaran dan pengajarannya di peringkat awal prasekolah, di sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan dalam kalangan masyarakat umum. Buku terbahagi kepada sembilan bab. Bab 1 membicarakan definisi Pemikiran dan Falsafah Pendidikan. Bab 2 mulai memperkatakan Pendidikan Pemikiran ke arah Kebitaraan dan Kecemerlangan Insan. Dari hemisfera otak kiri atau hoki tercetus pemikiran kesaintifikan, manakala dari hemisfera otak kanan atau hoka tercetus potensi pemikiran kekreatifan. Kedua-dua aspek ini dibincangkan masing-masing dalam bab 4 dan bab 5. Dari perbincangan bab-bab itu, terhasillah teori empat paradigma pemikiran iaitu Kerohanian, Kebitaraan, Kesaintifikan dan Kekreatifan. Bab 6 dan bab 7 masing-masing membincangkan tentang aspek-aspek keagamaan lain dan aspek-aspek, akhlak dan etika dalam pengurusan global. Manakala Bab 8 memperjelaskan bagaimana Pemikiran Islam Hadhari dapat menyelesaikan masalah global. Bab terakhir iaitu bab 9 membuat kesimpulan bahawa Teori Pendidikan pemikiran Global adalah cantuman kedua-dua modul SPB4K dan SEB4K. Buku ini dapat memberi bahan renungan, ransangan dan pemikiran untuk para bakal guru, pendidik, pensyarah, ibu bapa, pegawai, pemimpin dan ahli-ahli masyarakat umum ke arah kecemerlangan pendidikan pemikiran dalam era globalisasi.


Instructor Biography

Mohd.Yusuf Hasan yang berasal dari Hsoba, Jitra, Kedah menceburkan diri dalam bidang pendidikan sebagai guru, pensyarah, profesor madya dan profesor selama lebih 40 tahun di sekolah-sekolah, Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau juga terlibat dalam bidang perundingan dan penilaian kesusasteraan dan pemikiran bagi Universiti Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Mara, Open University Malaysia dan Australian National University. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Universiti Malaya), Sarjana (Universiti Sains Malaysia) dan Ph.D (Australian National University) beliau mengendali kuliah dan penyelidikan dalam bidang Kesusasteraan, Pemikiran, Epistemologi, Etika Pengurusan dan Komunikasi. Beliau menghasilkan lebih 15 buah buku, 100 artikel dan 300 kertas kerja  dan ceramah kepada badan-badan kerajaan berkanun dan swasta. Beliau dianugerah darjah-darjah BKM,AMK dan DSDK dan Kerajaan Negeri Kedah dan AMN oleh Kerajaan Malaysia. Kini, Dato’ Prof. Dr. Mohd Yusof Hasan adalah felo penyelidikan Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, felo Penyelidikan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan pernah menjadi Karyawan Tamu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.