image

Sekolah Melayu lahir di Singapura pada pertengahan kurun ke-19, kemudian berkembang maju pada zaman penjajahan hingga mencapai puncak kegemilangan pada zaman awal kemerdekaan. Malangnya ia terkubur pada tiga suku akhir kurun ke-20. Sejarah membuktikan bahawa pendidikan sekolah Melayulah yang menanam asas pemodenan dan menjadi jentera kemajuan masyarakat Melayu dan warisan kebangsaan Singapura. Ia sangat bererti terutama bagi masyarakat Melayu. Persekolahan Melayu telah menyumbang dalam kemajuan pemikiran, politik, sosial dan ekonomi masyarakat. Bahkan sebahagian besar orang Melayu termasuk para pemimpin dan intelektualnya telah terdidik melalui sistem pendidikan formal ini.

Buku ini menggunakan perspektif analisis sosio-sejarah dalam menyajikan kepada masyarakat tentang latar belakang penubuhan, kewujudan, perkembangan, kejayaan dan akhir kepupusan sekolah-sekolah Melayu itu dalam suasana perubahan sosiopolitik dan ekonomi negara Singapura yang begitu pesat. Semoga buku ini bukan sahaja berfungsi sebagai wadah mengabdikan kenangan kita terhadap sekolah Melayu tetapi yang lebih penting ia digunakan dalam proses identifikasi kita mengenal, memahami, menghargai semula perjuangan nenek moyang kita dalam mengembangkan pendidikan untuk generasi akan datang. 


Instructor Biography

Kamsiah Haji Abdullah lahir di Singapura dan berpendidikan sekolah Melayu dan Inggeris di Sekolah Melayu Perempuan Geylang, Cedar Girls’ Secondary School dan mengambil Sijil Tinggi Pelajaran (HSC) sebagai calon persendirian.

Beliau merupakan tokoh pendidikan yang mendapat latihan awal dari Teacher’s Training College Singapore (1964-67) sebelum menerima ijazah Sarjana Muda Sastera (kepujian) dalam Indonesia and Malay Studies daripada Universiti London (1978) secara luaran. Kemudian beliau dianugerahi Biasiswa Pemerintah Singapura untuk mengikuti kursus ijazah Sarjana Pendidikan di Universiti Malaya pada tahun 1984. Pada tahun 1990, beliau sekali lagi menerima biasiswa, kali ini dari Institut Pendidikan Singapura untuk ke Universiti London (ULIE- Department of International and Comparative Education) bagi memperoleh ijazah Doktor Falsafah.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.