image

Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah ini memuatkan tatabahasa bahasa Melayu yang ditulis khusus lagi terancang, bertujuan membantu para pelajar dan pengguna bahasa Melayu mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan mudah. Buku ini ditulis dengan berpandukan buku Tatabahasa Dewan dan menyampaikan isi pelajaran mengenai bahasa Melayu dengan cara yang cukup mudah.

Buku ini mengandungi dua bahagian, iaitu Bahagian 1 : Perkataan dan Bahagian 2 : Ayat. Bahagian 1 membicarakan hal mengenai golongan kata bahasa Melayu, kata ganti nama diri, kata ganti nama tanya dan tempat, kata bilangan, penjodoh bilangan, kata kerja, pembentukkan kata kerja terbitan, kata kerja pasif, kata adjektif ganda dan kata tugas yang juga turut membicarakan hal mengenai kata adverba.

Dalam Bahagian 2 : Ayat, membicarakan definisi ayat, ayat dasar, ayat terbitan, ayat tunggal, jenis-jenis ayat dan ayat majmuk. Aspek-aspek tatabahasa tersebut disampaikan dengan cukup mudah bersama-sama dengan contohnya sekali. Setiap tajuk utama yang dibicarakan disertai dengan beberapa soalan latihan bagi membolehkan para pelajar menguasai tatabahasa bahasa Melayu dengan baik seterusnya boleh menjadikan mereka trampil dan cemerlang dalam bahasa Melayu. Buku ini amat sesuai untuk kegunaan para pelajar dan pengajar di sekolah, maktab dan juga universiti. 


Instructor Biography

Profesor Dr. Abdul Hamid Mahmood dilahirkan pada 23 Ogos 1945 di Kampung Dewan Beta, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Datok Abdul Razak, Tanjong Malim, Perak. Beliau mengikuti kursus perguruan di Language Institute (kini Institut Bahasa) Lembah Pantai, dan pada tahun 1969 melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Beliau kemudian mengikuti kursus bagi menyiapkan tesis Ph.D di Universiti of California, Berkeley, Amerika Syarikat. Beliau berkhidmat sebagai guru terlatih di Sekolah Menengah Air Lanas, Jeli, Kelantan (1966-1969) dan Sekolah Shah Alam, Cheras (1972). Pensyarah di Kolej Pertanian Malaya (1972-1973) dan Profesor Madya di Univesiti Pertanian Malaysia (1981) serta Profesor (1992). Pada awal Januari 2001, beliau telah dijemput menjadi Profesor Bahasa Melayu di UPSI. Beliau dilantik sebagai Pengarah Penerbit UPSI pada 1 November 2001 hingga Februari 2006.

Dalam bidang penerbitan, beliau bergiat cergas dalam penyelidikan dan penulisan tentang bahasa dan linguistik Melayu. Sehingga kini beliau telah menghasilkan 20 buah buku bertaraf akademik dan digunakan sebagai rujukan di sekolah, maktab dan universiti.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.