image

Kaum Muda di Tanah Melayu, 1906-1957 mengkaji peranan Kaum Muda di Tanah Melayu sekitar 1906-1957 yang menggerakkan kesedaran orang Melayu dalam pelbagai bidang termasuk gerakan kesedaran menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Berdasarkan kajian lampau, kajian tentang Kaum Muda ini lebih terarah kepada polemik perbezaan pandangan antara Kaum Muda dan Kaum Tua yang berkisar kepada persoalan furuk keagamaan. Namun begitu, berdasarkan kajian semasa, terdapat perjuangan yang lebih besar yang dilalui oleh Kaum Muda iaitu untuk membentuk kemajuan pemikiran masyarakat khususnya orang Melayu. Justeru, buku ini diharap dapat mengisi kelompangan kajian lampau tentang perjuangan Kaum Muda yang tidak dipaparkan kepada khalayak seperti peranan mereka dalam mengangkat persoalan orang Melayu dalam pelbagai bidang termasuk sebagai penggerak kesedaran kemerdekaan di Tanah Melayu. Kajian ini turut menilai faktor luaran dan faktor dalaman yang mempengaruhi perkembangan perjuangan Kaum Muda di Tanah Melayu. Di samping itu buku ini turut menyenaraikan beberapa tokoh pejuang Kaum Muda daripada pelbagai latar belakang aliran pendidikan yang berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat.


Instructor Biography

Dr. Kamarul Afendey bin Hamimi merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Kuala Lumpur-Royal College of Medicine Perak, Ipoh. Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan selama 20 tahun. Bidang kepakaran beliau adalah berkaitan Pengajian Malaysia, Tamadun Islam dan Asia serta Hubungan Etnik. Selain itu, beliau turut aktif membentangkan kertas kerja di dalam dan juga di luar negara. Tumpuan kajian beliau adalah berkaitan sejarah politik Malaysia dan gerakan Islam.


Profesor Dr. Haji Ishak Saat merupakan anak kelahiran Sitiawan, Perak. Berpengalaman luas dalam bidang pendidikan melebihi 30 tahun. Beliau pernah bertugas sebagai Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tuanku Bainun, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan Pengarah, Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (2010 - 2011). Pernah menjadi Profesor Kunjungan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia dari 31 Disember 2017 hingga 31 Julai 2018. Beliau kini merupakan profesor di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris di samping aktif menghasilkan buku-buku ilmiah dalam bidang Sejarah Malaysia dan hasil karya beliau kini melebihi 35 buah buku. 

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.