image

Buku Falsafah dan Isu Semasa ialah buku rujukan mata pelajaran pengajian umum (MPU) yang merupakan kursus teras universiti yang wajib diambil oleh semua mahasiswa pada peringkat Ijazah Sarjana Muda. Buku ini merupakan sebagai medium untuk semua pelajar memperkayakan ilmu dengan memahami korpus ilmu berkaitan falsafah dan menghubungkaitkannya dengan isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat.

 

Terdapat lapan (8) bab yang dimuatkan di dalam buku ini yang membincangkan tentang pengenalan ilmu falsafah termasuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara. Penulisan ini turut memberi fokus kepada aliran falsafah dan kategori ilmu falsafah. Di samping itu, perbincangan berkaitan seni dan kaedah berfikir turut dimasukkan sebagai panduan tentang kepentingan hujah dalam membuat inferens untuk mengelak prasangka dan bias dalam keputusan yang diterima dan dihasilkan. Selanjutnya huraian berkaitan asal usul manusia, hakikat insan, konsep insan kamil dan sejahtera diketengahkan agar semua individu memahami tugas dan fungsi yang perlu dilaksana berpandukan saranan agama masing-masing. Buku ini turut memberi fokus kepada penjelasan tentang metafizik, teori hubungan insan dan Tuhan serta teori hubungan insan dan alam. Selain itu, untuk mengukuhkan ilmu yang dimiliki, buku ini mengupas tentang epistemologi (teori ilmu) yang berkisar tentang sifat, syarat, ciri, sumber dan batas ilmu yang boleh diketahui oleh manusia. Tambahan, setiap manusia dihadapkan dengan pelbagai ideologi semasa yang sukar untuk dipudarkan antaranya ialah idea sekularisme iaitu pemisahan antara aspek wahyu dan akal. Buku ini diakhiri dengan topik dekolonisasi bagi membebaskan minda individu daripada dipengaruhi oleh penjajahan minda yang berunsurkan pembaratan atau kebebasan tanpa sempadan.

 

Penulisan dan penerbitan buku ini bukan sahaja bersesuaian dengan para mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil kursus ini bahkan ia dapat memberi pengetahuan asas kepada pembaca umum untuk mendapatkan tasawur tentang ilmu falsafah, cabangnya serta kepentingannya dalam kehidupan. Justeru, diharapkan buku ini dapat memberi manfaat kepada semua dalam usaha memartabatkan fungsi minda ke arah kecemerlangan ummah.


Instructor Biography

ASMAA' MOHD ARSHAD mula berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam sejak November, 2015. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Islamic Revealed Knowledge and Heritage (IRKH), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kemudian beliau menyambung pengajian pada peringkat Sarjana dalam bidang Tamadun Islam di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) pada tahun 2000 dan selanjutnya beliau berkhidmat sebagai Felo Penyelidik di ISTAC. Setelah itu, beliau berkhidmat di Institut Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau berjaya menyempurnakan pengajiannya pada peringkat doktor falsafah dalam bidang pendidikan di Universiti Malaya pada tahun 2010. 

 

NORHAPIZAH MOHD BURHAN merupakan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang (Kampus Jengka) dan mula berkhidmat di UiTM pada tahun 2008. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa Arab & Kesusasteraan), minor Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Seterusnya, beliau mengambil Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan memperoleh Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Darul Aman (IPDA). Beliau menyambung pengajian di peringkat ijazah Sarjana Usuluddin dalam bidang Dakwah dan Pembangunan Insan di Universiti Malaya (UM) dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pendidikan Islam (Reka bentuk kurikulum) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini terlibat secara langsung dalam penyelidikan pembangunan atau Design and Developmental Research (DDR). Fokus utama penulisan adalah genre akademik dalam bidang Blended Learning, e-kandungan, teknologi Pendidikan Islam, heutagogy, mediamorphosis, etika dan nilai termasuk modul pengajaran. 

 

NORAFIFAH AB HAMID merupakan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka. Beliau mula berkhidmat pada Februari 2011. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Sarjana Usuluddin dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dengan pengkhususan dalam bidang Akidah dan Pemikiran Islam. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah juga dalam bidang Akidah dan Pemikiran Islam di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Telah menghasilkan beberapa buah buku dan penulisan akademik termasuklah artikel jurnal berindeks, pembentangan kertas kerja di peringkat IPTA, kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Buku Negara 2019 Kategori Buku Biografi Terbaik. 

 

MAHFUZAH MOHAMMED ZABIDI merupakan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Cawangan Pasir Gudang. Beliau mula berkhidmat pada Februari 2009. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah dalam bidang yang sama di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengaruh Kepercayaan Konsep Ilmu Islam terhadap Kepercayaan Beragama dan Penghayatan Akhlak Pelajar Universiti Awam. Beliau juga terlibat dengan projek penyelidikan mengenai pelancongan pendidikan di institusi pondok, pendidikan orang asli, wakaf dalam pendidikan Islam dan pendekatan pembelajaran Ulul Albab. Bidang kajian dan penulisan yang menjadi kecenderungan beliau adalah pendidikan Islam, kesepaduan ilmu dan pendidikan nilai.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.