image

Umumnya, perkembangan industri berkembang sesuai dengan perkembangan sosial dan ekonomi. Industri hospitaliti juga tidak terkecuali. Industri hospitaliti yang dalamnya termasuk semua perniagaan dan perkhidmatan pelancongan, perhotelan, perkhidmatan makanan dan gastronomi juga telah berkembang dan berubah mengikut masa. Industri yang sinonim dengan asas perkhidmatan one-on-one ini telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Buku ini bertujuan untuk merungkai bagaimana isu perkembangan semasa iaitu COVID-19 telah merubah sedikit sebanyak landskap industri hospitaliti dan perkhidmatan makanan. Apa yang berubah, bagaimana ia berubah, di mana perubahan paling banyak berlaku dan apakah kaedah yang telah diadaptasi bagi kekal relevan dengan asas hospitaliti, namun masih terkehadapan untuk menangani cabaran COVID-19 telah cuba dikupas dengan terperinci. Buku ini sesuai bagi semua pemain industri seperti operator pelancongan, perhotelan, inap desa, pemilik restoran, perniagaan makanan dan ahli akademik sebagai rujukan untuk membincangkan isu semasa dan bersama terus membangunkan industri ini.
 


Instructor Biography

Chemah Tamby Chik

Prof Madya Dr Chemah Tamby Chik mempunyai latar belakang Teknologi Makanan dari Michigan State University dan berkhidmat selama 20 tahun di Universiti Teknologi MARA dan Politeknik. Selain bertugas sebagai pendidik di Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Dr Chemah juga adalah Ahli Kumpulan Kerja Teknikal Latihan Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Panel Penilai Program, Agensi Kelayakan Malaysia. Antara kejayaan peribadi yang amat dibanggakan, beliau telah melahirkan program Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Keusahawanan di UiTM. Dr Chemah telah berkongsi pengalaman dan kepakaran melalui TV Al-Hijrah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Institut Kemahiran Belia Negara dan beberapa lagi agensi kerajaan dan swasta. Antara latihan yang beliau pernah kendali termasuk Jaminan Kualiti Makanan, Sains Makanan dan Pemakanan. Selain menerbitkan beberapa buku, Dr Chemah juga mempunyai penerbitan yang dirujuk dalam jurnal antarabangsa.

 

Salamiah A. Jamal

Prof Dr Salamiah A Jamal ialah seorang ahli akademik dan pendidik Malaysia. Beliau berkhidmat di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA sejak 2002. Lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Accounting and Management Control dari Sheffield Hallam University, United Kingdom, beliau telah menamatkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan di UiTM. Selain menjadi pakar rujuk peringkat nasional, pemeriksa luar IPTS (seperti Taylor's University, Sunway University, Lincoln University College, dan lain-lain) beliau juga merupakan Wakil Tetap Jawatankuasa Teknikal Tourism and Related Services, Jabatan Standard SIRIM Malaysia. Beliau telah menerbitkan beberapa buku rujukan, bab dalam buku, monograf, serta penerbitan di dalam jurnal terkemuka.

 

Fahmi Ibrahim

Pen. Prof. Dr Fahmi Ibrahim ialah ahli akademik yang berkhidmat di School of Business, Universiti Teknologi Brunei, Brunei Darussalam. Beliau mempunyai ijazah Doktor Falsafah, pengkhususan dalam bidang Knowledge Management dari Glasgow Caledonian University, Scotland. Selain daripada itu, beliau berkelulusan Sarjana MSc dari University Strathclyde, Scotland dan MBA dari UiTM. Beliau mempunyai pengalaman luas sebagai tenaga pengajar dan penyelidik di United Kingdom. Selain menyandang tugas pendidik, beliau juga aktif dalam penyelidikan dan menjadi pakar rujuk dalam bidang pengurusan strategik, pengurusan operasi, pengurusan strategik teknologi maklumat, pengurusan modal insan, dan pembelajaran dan pengajaran. Beliau telah menerbitkan beberapa bab dalam buku serta jurnal di peringkat antarbangsa. Kini, Dr Fahmi merupakan pakar runding bagi beberapa organisasi dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara Brunei Darussalam.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.