image

Warna Kalbu Zaman Dewasa ini merupakan karya oleh Sasterawan Negara Arena Wati.


Instructor Biography

Muhammad Bin Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung atau nama penanya Arena Wati, Duta Muda dan Patria dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan awal di Hollands Indische School (HIS), iaitu sebuah sekolah Belanda di Makasar, kemudian di Meer Uigebreid Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere Burger School (HBS) yang diteruskan semasa beliau menjadi pelaut. Beliau dapat menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar pada tahun 1953 selepas terhenti semasa perang meletus. Kehidupan beliau sebagai pelaut bermula pada tahun 1945 di bawah pimpinan Kapten Muhammad, Kapten Affandi dan Kapten Mukmin.

Pengalamannya yang luar biasa sebagai pelaut banyak memberinya ilham dalam berkarya dan meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam bidang penulisan khasnya untuk menghasilkan novel dan cerpen yang baik. Kerjaya beliau di laut lepas bermula sebagai kerani muatan dan kewangan perahu penisi (Mei 1942-April 1943) yang berpangkalan di Singapura seterusnya menjadi nakhoda (Mei 1943-Ogos 1945). Kemudian beliau bertugas sebagai taikong kapal kayu (Januari 1946-Mei 1948), jurumudi (Jun 1948-April 1950) dan nakhoda panisi di sekitar perairan Sulawesi-Makasar yang berpangkalan di Makasar. Kerjaya terakhir beliau di lautan ialah sebagai Pegawai Perancang Harian Dinas Angkutan Angkatan Darat Teritorium VII (Januari 1952-Jun 1954) di Makasar yang mengelola pengiriman pasukan dan logistik dari Makasar ke seluruh Sulawesi, Bali, Kalimantan Timur, Nusa Tenggara, Maluku Selatan dan Maluku Utara.

Pada 1974, Arena Wati yang telah pun menjadi rakyat Malaysia, ditawarkan pekerjaan sebagai Pegawai Penyelidik, merangkap Ketua Jabatan Perancangan dan Penyelidikan di Yayasan Sabah. Jawatan ini disandangnya selama 12 tahun. Di Yayasan Sabah, beliau telah membangunkan sebuah perpustakaan yang kini boleh dianggap sebagai sebuah perpustakaan umum yang cukup baik di Sabah. Ketika bekerja di Yayasan Sabah ini, beliau telah diberikan fellowship untuk menjalankan penyelidikan di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun antara Ogos 1983 hingga Januari 1984. Dalam rangka menjalankan penyelidikannya ini, beliau telah dilantik menjadi Felo oleh Universiti Cornell di Amerika Syarikat, Universiti Leiden di Holland, dan Universiti Kyoto di Jepun. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, dan pandangan dunianya menjadi lebih terbuka sehingga menjadikannya seorang sasterawan Melayu yang mempunyai sudut pandangan global dan universal. Hasil daripada pengalamannya di Universiti Cornell, Leiden dan Kyoto ini telah lahir tiga buah novel yang memaparkan pandangan seorang Melayu dari dunia Timur terhadap pelbagai peristiwa di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun.

Setelah menamatkan perkhidmatannya di Yayasan Sabah, beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu dan pensyarah di Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia, cawangan Sabah, antara Mac 1986 hingga April 1988. Setelah itu beliau dilantik pula sebagai Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, hingga April 1990.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.