image

Buku Jurulatih Bola Sepak Berjaya: Informasi dan Panduan ini diterbitkan dengan harapan dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada jurulatih, bakal jurulatih, yang bercita-cita menjadi jurulatih, guru-guru sukan serta penggiat bola sepak, dengan mengetahui apakah ilmu pengetahuan yang perlu oleh jurulatih bola sepak sebelum mereka boleh berjaya sebagai jurulatih. Buku ini dibahagikan kepada dua belas bab yang merangkumi pelbagai aspek dalam bola sepak khusus untuk jurulatih pada peringkat awal kerjaya jurulatih. Kesemua aspek yang difikirkan perlu dikuasai oleh jurulatih seperti teknikal, taktikal, kecergasan fizikal dan mental dimuatkan dalam buku ini. Selain itu, turut dibincangkan tentang aspek periodisasi latihan bola sepak, pemakanan, persediaan dan pertimbangan dalam merancang sesi latihan bola sepak, asas dan peranan jurulatih bola sepak, persiapan mental pemain bola sepak remaja, perbezaan melatih pemain remaja berbanding pemain dewasa, kerjaya jurulatih dan proses kejurulatihan. Dalam bab terakhir buku ini penulis menyediakan cadangan rancangan latihan yang diyakini dapat dijadikan panduan oleh para jurulatih bola sepak. Semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada pembaca dan dapat menjadi sumber informasi dan panduan kepada para jurulatih bola sepak pada peringkat permulaan untuk terus menimba ilmu pengetahuan dalam menjalankan tugas sebagai jurulatih bola sepak berjaya.


Instructor Biography

Zulakbal Abd Karim (PhD) merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Kejurulatihan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Memiliki Diploma Kejurulatihan Bola Sepak Profesional dan Doktor Falsafah Sains Kejurulatihan, dari Victoria University, Melbourne. Mengendalikan kursus kejurulatihan bola sepak peringkat Lesen D dan C FAM dan AFC. Memulakan kerjaya sebagai guru Pendidikan Jasmani dan pernah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2007. Pernah menjadi Ketua Jurulatih pasukan Malaysia bawah 18 tahun ke Kejohanan Sekolah Asia di Mokpo, Korea pada 2010 serta Penolong Ketua Jurulatih Liga Perdana Kuala Lumpur FA, UiTM FC, dan Selangor United FC musim 2015 hingga 2018. Aktif membentangkan kertas kerja persidangan di Melbourne, Los Angeles, Oregon, Sarajevo, Seoul, Hanoi dan Osaka dan menjalani program bola sepak selama tiga bulan di Sao Paolo, Brazil pada tahun 2019. Menyandang jawatan Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan & Pembangunan Ahli Gabungan FAM (2021-2025).

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.