image

Buku Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama: Peranan, Isu dan Cabaran merupakan naskah rujukan ilmiah bagi segenap lapisan masyarakat tentang agenda keselamatan negara yang diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seiring dengan pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025. Buku daripada hasil penyelidikan ini menggarapkan hasil dapatan kajian yang telah dijalankan pada tahun 2022 dengan kerjasama strategik penyelidikan antara MKN dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Buku ini menyampaikan naratif keselamatan negara yang diperoleh daripada bukti empirikal melalui penyelidikan dari lensa tiga kumpulan masyarakat: (1) kumpulan penguat kuasa dan pelaksana yang berurusan dengan keselamatan negara; (2) pemimpin komuniti; serta (3) masyarakat Malaysia. Penerokaan dapatan kajian yang kaya lagi mendalam dengan adaptasi metodologi penyelidikan yang kukuh telah membuahkan suatu naratif keselamatan negara yang komprehensif dan menyeluruh bagi pembacaan umum seluruh rakyat Malaysia. Buku ini juga akan menjadi rujukan ilmiah kepada kementerian dan agensi untuk lebih memahami dan mendalami agenda keselamatan negara, peranan dan tanggungjawab yang digalas secara bersama, serta isu dan cabaran untuk ditangani.


Instructor Biography

Yarina Ahmad telah melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Sains (Pembangunan Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2001; Sarjana Pentadbiran Awam di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2003; dan ijazah Kedoktoran dalam bidang Sosiologi di Monash University, Australia pada tahun 2013. Beliau aktif dalam penyelidikan, penerbitan dan penyeliaan pasca-ijazah dalam bidang berkaitan dengan sosial, sosio-ekonomi, pengajian dasar dan juga pemasaran sosial. Beliau telah berkhidmat sebagai tenaga pengajar universiti selama 18 tahun dan kini merupakan Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, dan juga Pengarah di Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari, Universiti Teknologi MARA (UITM). Beliau merupakan Ketua Penyelidik bagi Kajian Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) 2022 dan 2023 serta merupakan penyunting utama buku ini.

Raja Nushirwan Zainal Abidin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Ekonomi) dari Universiti Aberystwyth, Wales. Mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1995 di Bahagian Ekonomi dan Komoditi Serantau, Kementerian Luar Negeri (KLN). Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), KLN dan Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China. Beliau berkhidmat di KLN sehingga Mei 2023, sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara di Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Beliau telah menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) oleh DYMM Sultan Pahang dan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh DYMM Sultan Perak. Selain itu, beliau juga mendapat anugerah Profesor Kehormat dari Universiti Tianjin pada Februari 2023.

Nor Azira Ayob berkelulusan ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana Pengurusan Awam daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Doktor Falsafah Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bidang pengkhususan ialah analisis polisi, gender dan keusahawanan. Beliau kini Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) dan merupakan Resource Person bagi subjek Malaysian Economy. Sebelum ini beliau merupakan Ketua Pusat Pengajian Sains Pentadbiran serta Managing Editor bagi Journal Administrative Science (JAS). Beliau aktif dalam menjalankan penyelidikan, pembentangan di seminar peringkat nasional dan antarabangsa serta penulisan di dalam jurnal berimpak, penulisan di akhbar serta menulis bab dalam buku.

Nor Suziwana Hj. Tahir memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di UiTM Kampus Shah Alam. Antara beberapa jawatan pentadbiran pernah disandang seperti Koordinator Pasca-siswazah (kerja kursus), Ketua Unit Penyelidikan, Ketua Pusat Pengajian (INED), Timbalan Pengarah Perolehan dan Pemasaran Penerbit UITM. Minat kajian beliau adalah dalam bidang etika kerja Islam, tanggungjawab sosial korporat, etika perniagaan, pengurusan dan pentabiran serta tadbir urus korporat. Beliau telah menerbitkan beberapa hasil penyelidikan beliau di jurnal terkemuka.

Norazah Abd Rahman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia di University of Minnesota, Duluth dan University of Missouri, Rolla, Amerika Syarikat. Beliau telah mendapat Ijazah Sarjana dari Brunel University, United Kingdom. Seterusnya, beliau memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau memegang beberapa jawatan tinggi di UiTM seperti Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Dekan Jaringan Industri, Masyarakat dan alumni (ICAN) Kolej Pengajian Kejuruteraan serta telah menerbitkan lebih daripada 80 artikel berindeks dan telah menubuhkan Malaysian Journal of Chemical Engineering and Technology.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.