Terapi Convalescent Plasma Terhadap Pesakit COVID-19
Dunia menyaksikan wabak virus Corona (COVID-19) telah menyerang banyak negara dan tersebar di seluruh dunia. Para doktor berusaha menggunakan pelbagai mekanisme dan kaedah sebagai sebahagian daripada usaha yang bertujuan untuk mengawal dan mencegah wabak ini. Antara kaedah yang paling berkesan adalah dengan menggunakan plasma darah sebagai sistem imunisasi (Convalescent-Plasma (CP)). Keberkesanan rawatan ini telah terbukti melalui banyak ujian klinikal yang telah dilakukan oleh beberapa buah negara di seluruh dunia.
Melihat kepada keberkesanan rawatan ini dalam mencegah penularan wabak pandemik, kekurangan pengetahuan hukum syarak tentang penggunaan rawatan ini dalam masyarakat Islam, dan juga kekurangan kajian mengenai rawatan ini, maka penyelidikan ini dilaksanakan untuk menjelaskan perihal hukum syarak menggunakan rawatan CP untuk merawat pesakit COVID-19. Kajian kualitatif ini menggunakan metodologi analisis kandungan dengan pendekatan induksi dan penelitian dilakukan terhadap pandangan para ulama fiqh dan usul fiqh serta dalil-dalil berkaitan hukum rawatan ini. Hukum tersebut dianalisis dan dibincangkan serta ditarjihkan sesuai dengan Syariah serta konteks semasa dalam ilmu perubatan.
Hasil kajian ini telah mendapati bahawa terdapat pelbagai pandangan fuqaha dalam pengharaman berubat menggunakan darah yang dikategorikan sebagai najis. Terdapat juga perbincangan mengenai keharusan menggunakan plasma darah daripada penderma kepada pesakit COVID-19 kerana tidak dikategorikan di bawah takrif darah yang mengalir dan berasaskan beberapa dalil yang lain. Kajian ini menyimpulkan bahawa hukum penggunaan rawatan CP adalah harus untuk merawat pesakit COVID-19 bergantung kepada syarat-syarat yang berkaitan dengan penderma, penerima, dan darah yang digunakan.
Instructor Biography
Ahmad Syukran Baharuddin memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Fiqh Sains dan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia, Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Mu'tah, Jordan, dan Diploma Kehakiman dan Guaman Syarie dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kerjaya beliau sebagai penyelidik dan perunding penyelidikan di beberapa universiti dan badan penyelidikan bebas bermula dari 2013, dan menyertal USIM pada 2018 sebagai pensyarah dan penyelidik tetap di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dan Institut Sains Islam (ISI).
Sejak 2019 sehingga kini, beliau merupakan ketua penyelidik dan pengasas bersama bagi Centre of Research for Fiqh Forensics and Judiciary (CFORSJ), ISI/FSU-USIM. Beliau merupakan ketua editor, editor dan pewasit bagi pelbagai jurnal dalam dan luar negara terindeks Web of Science, Scopus dan MyCITE.
Noor Fadzilah Zulkifll merupakan Profesor Madya di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM dan juga beliau mempunyal keahlian professional di dalam Malaysian Medical Council (MMC), Malaysian Society of Haematology (MSH), Malaysian Society of Blood Transfusion, dan pelbagai lagi. Beliau dianugerahkan Master of Pathology (Haematology) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2006 dan mula menjadi pensyarah senior medical bermula tahun 2007. Kemudian pada tahun 2015-2016, beliau telah mengikuti program Fellowship in Team-Based Learning (TBL) di DUKE-NUS Singapore. Kini, beliau telah menghasilkan banyak buku, bab-bab di dalam buku serta artikel dalam membahaskan isu-isu berkaitan bidangnya.
Average Rating
Related Courses
Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.