image

GIGI, mulut dan pemakanan yang sihat dan baik adalah antara komponen kesihatan yang penting bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Walau bagaimanapun, segelintir ibu bapa/penjaga menghadapi cabaran dalam menjalankan aktiviti penjagaan gigi dan mulut serta informasi tentang penyediaan makanan yang terhad di mana ia bergantung kepada situasi dan keadaan anak-anak mereka.


Buku Penjagaan Gigi, Mulut & Pemakanan Anak Keperluan Khas ini bukan sahaja mengupayakan ibubapa/penjaga, malahan ahli terapi dan guru pendidikan khas memahami konsep penjagaan kesihatan gigi dan mulut kanak-kanak serta pemakanan sihat untuk mencegah kerosakan gigi dan kesakitan dalam mulut. Buku ini juga memberi penekanan tentang permasalahan pemakanan yang sering dihadapi oleh kanak-kanak berkeperluan khas. Cadangan dan petua pemakanan yang dikupas diharapkan dapat membantu dalam membanteras kerosakan gigi dan seterusnya mengekalkan kesihatan gigi dan mulut optimum.


Instructor Biography

ILHAM WAN MOKHTAR merupakan Pakar Klinikal Pergigian Kanak-Kanak dan Keperluan Khas dan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Rawatan Komprehensif, Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sungai Buloh. Beliau bergiat cergas dalam menyampaikan rawatan komprehensif kepada anak-anak berkeperluan khas secara spesifik dan komuniti. Beliau yakin sekiranya ibu bapa disediakan dengan kefahaman dan tip penjagaan kesihatan pergigian yang optimum kepada anak-anak di bawah jagaan mereka, masalah pergigian dapat dielakkan dan dirawat dengan lebih baik.

 

NOR FAEZAH BOHARI merupakan seorang Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Kesihatan Pergigian Populasi dan Pencegahan Klinikal, Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sungai Buloh. Beliau bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti promosi kesihatan pergigian dan mulut serta kesihatan awam pergigian. Beliau mempunyai minat yang amat mendalam tentang pemakanan sihat dan kaitannya dengan kesihatan pergigian dalam kalangan kanak-kanak secara am dan khususnya kanak-kanak keperluan khas. Dr NUR HANA HAMZAID merupakan pensyarah kanan di Program Dietetik dan juga Pusat Penyelidikan Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Memperoleh pendidikan PhD in Health Sciences dari University of Sydney, Australia. Telah bergiat aktif dalam bidang pengajaran dan klinikal dalam bidang dietetik dan yang berkaitan. Usaha beliau banyak memfokuskan kepada penambahbaikan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas. Dr Hana juga aktif dalam penyelidikan dari peringkat asas dan intervensi di samping kerja amal dalam komuniti.

 

HANI ZULAIKA ZAHARUDIN merupakan graduan senibina dari University of Melbourne. Menceburi bidang rekaan seni lukis dan grafik kerana minat yang mendalam, beliau memulakan perniagaan sebagai pereka grafik dan ilustrator bebas sepenuh masa. Perniagaan ilustrasi beliau mendapat sambutan yang sangat tinggi bukan sahaja di Malaysia, malah dari luar negara termasuklah Australia dan UK. Buku ini adalah projek pertama dan terbesar yang pernah diusahakan.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.