Pemikiran Dharmawijaya
Kehidupan masyarakat, baik masyarakat desa dan kota, yang melatari serta menjadi renungan sebagai mumbu ilham kepada Dharmawijaya untuk diungkap dalam baris-baris puisinya. Malah Dharmawijaya dengan rasa sensitiviti merupakan seorang penyelongkar dan pemikir yang mencorak rencah, kemudian mengadun rempah hidup yang realis terhadap kehidupan masyarakat, sehingga menjangkau batasan usia lebih dari separuh abad. Sebagai penyair yang mencipta nama sebaris dengan penyair tersohor tanah air, gaya kepenyairannya amat tuntas dengan masyarakat yang dilihatnya memanfaatkan alam sebagai sumber untuk meraih sekelumit nafas bagi menyambung kehidupan di bumi bertuah ini. Lantaran itu, melalui gaya bahasa yang berseni, Dharmawijaya memanipulasikan corak dan gaya kepenyairannya sehingga namanya terukir sebagai ikon penyair tanah air. Justeru, kajian yang dilakukan ke atas kesemua puisi-puisi Dharmawijaya dengan menggunakan Teori Pengkaedahan Melayu bersama dengan Teori Estetik, adalah untuk menginterpretasikan cerminan pemikiran yang terungkap dalam puisi-puisinya. Dengan jaringan intelektual serta jalinan bahasa yang meninggalkan kesan estetik, ternyata sekali pemikiran yang diluahkan oleh Dharmawijaya telah menterjemahkan kemelut dan dilema hidup masyarakat. Oleh itu, buku ini, harus menjadi “buah tangan” kepada sarjana, pengkritik, pengkaji antropologi, penyair, guru dan peminat sastera Melayu tempatan serta antarabangsa.
Instructor Biography
Dr Naffi Mat atau nama samarannya Naapie Mat, dilahirkan pada tahun 1957, di Kelantan. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Tumpat, Kelantan. Mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak. Ijazah pertama dan Ijazah Sarjana dari Universiti Putra Malaysia serta Ph.D dari Universiti Malaya. Pernah menerima beberapa anugerah sastera, antaranya ialah Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Islam dan Hadiah Sastera Negeri Kelantan Darul Naim. Beliau aktif menghasilkan puisi, esei dan buku akademik.
Related Courses
Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.