image

Buku oleh sekumpulan penulis yang arif dalam dunia pendidikan dihasilkan sebagai pencetus inovasi dalam pegajaran dan pembelajaran (PdP). Terdapat tujuh (7) bab yang telah dikupas dengan terperinci melalui penekanan tiga komponen utama iaitu pengenalan, strategi pengajaran dan penilaian.

Dalam menongkah arus pendidikan abad ke-21, setiap pendidik sentiasa berhadapan dengan cabaran dalam menyampaikan PdP yang kreatif dan inovatif. Namun, cabaran paling utama para pendidik adalah kemampuan mereka melahirkan bakat dan modal insan relevan dengan keperluan individu, masyarakat dan negara mengikut peredaran zaman.

Pembangunan bakat dan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memenuhi keperluan negara dalam abad ke-21 sering mendapat penekanan pada masa ini. Laporan Forum Ekonomi Dunia, 2018 (World Economic Forum, 2018) menyatakan kepentingan set skil tertentu dalam memenuhi keperluan dan perubahan arah aliran industri abad ke-21.

Menariknya, set skil yang dimaksudkan ini boleh dilatih melalui penerapan aktiviti PdP dan penilaian dalam bilik darjah. Buku ‘Inovasi Amalan Pengajaran dan Penilaian: Panduan Pendidik’ telah ditulis berdasarkan harapan bahawa setiap pendidik wajar mendapat panduan dalam menjalankan sesi PdP yang kreatif dan inovatif dalam membentuk bakat dan modal insan yang diperlukan negara. Keunikan buku ini terletak pada penekanan elemen penilaian selain pengajaran.

Dalam konteks ini, elemen penilaian dilihat sebagai salah satu aktiviti dalam kelas. Bersesuaian dengan konsep penilaian fomatif, panduan dan contoh aktiviti dalam kelas menjurus kepada aspek penilaian turut disediakan dalam setiap bab. Para pembaca dapat membuat rujukan dan mendapat panduan bagaimana set skil yang diperbincangkan dalam buku ini dapat diterapkan melalui penilaian dalam sesi PdP.

Akhir sekali, buku ini boleh dirujuk oleh warga pendidik yang terlibat dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajaran. Para guru mahupun pensyarah di pelbagai institusi pendidikan boleh mendapat manfaat daripada buku ini memandangkan setiap bab ditulis secara umum dengan menekankan kemahiran pembangunan bakat dan modal insan melalui inovasi amalan pengajaran dan penilaian. Soalan ulang kaji mengakhiri setiap bab mampu bertindak sebagai rujukan tambahan kepada pembaca.


Instructor Biography

Faizah Abd Majid merupakan seorang profesor dalam bidang Pendidikan Dewasa dan Pembangunan Profesional. Beliau telah banyak menerima geran penyelidikan dari dalam dan luar negara. Sebagai seorang pendidik, beliau banyak berkecimpung dalam pembangunan profesional bakal guru, guru dalam perkhidmatan dan juga para pensyarah institusi pengajian tinggi. Hasil penulisan beliau banyak diterbitkan dalam bab dalam buku dan jurnal berindeks. Beliau sering mendapat jemputan sebagai penceramah dan perunding.

Wan Nurul Elia Haslee Shahril berpengalaman melatih guru-guru pelatih dalam bidang TESL selama lebih sepuluh tahun. Beliau memegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pendidikan, berfokuskan kepada amalan refleksi dalam kalangan guru-guru pelatih Bahasa Inggeris semasa melakukan rancangan pembelajaran. Selain dari amalan refleksi, beliau juga terlibat dalam kajian yang berfokuskan kepada metodologi pengajaran Bahasa Inggeris dan perkembangan profesional guru-guru.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.