image

Buku "KEBITARAAN PENGAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN GEOGRAFI DI SEKOLAH" diterbitkan khusus untuk pelajar-pelajar pendidikan pusat pengajian tinggi sama ada di Universiti (IPTA/IPTS) atau Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengkhusus kepada pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) mata pelajaran geografi. Pada masa yang sama, guru sedia ada boleh memanfaatkan buku ini untuk digunakan dalam PdPc di sekolah sedia ada. Buku ini juga boleh dibaca pelajar sekolah menengah kerana terdapat bab-bab aplikasi yang boleh digunakan dalam PdPc di sekolah juga. Buku ini pada awalnya memperkenalkan pembaca kepada sejarah pendidikan secara am dan meneroka bagaimana pendidikan di Malaysia itu berkembang sehingga kini. Pembaca diperkenalkan elemen terbaharu dalam kurikulum berkaitan yang diketengahkan di dalam setiap bab malahan beberapa bab juga menukilkan aplikasi sedia ada yang boleh digunakan dalam PdPc. Buku ini mengandungi 11 bab. Kekuatan buku ini adalah kupasannya yang menyeluruh tentang PdPc mata pelajaran Geografi yang digunakan oleh pelajar IPT, Guru Sekolah yang mengajar mata pelajaran Geografi dan juga murid-murid sekolah sebagai alat bantu mengajar (ABM) mereka. Buku ini boleh menjadi panduan kepada mereka dalam menjadikan PdPc mengikut arus semasa dengan keperluan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam menjadikan warga Malaysia yang lebih berpengetahuan untuk masa hadapan yang lebih cemerlang.


Instructor Biography

Hanifah Mahat adalah Profesor Madya di jabatan Geografi & Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Menerima pendidikan menengah di SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka dan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (Kampus Sabah). Pada tahun 1997 telah tamat pengajian di peringkat Diploma Pendidikan (UKM) bidang pengkhususan Geografi dan Pengajian Am. Seterusnya pada tahun 2001 tamat pengajian peringkat Sarjana Sains (Teknologi Pendidikan) di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2014 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang Geografi. Memulakan kerjaya sebagai guru Geografi dan Pengajian di SMK Aminuddin Baki jalan Kg Pandan, Kuala Lumpur pada tahun 1997-2008. Seterusnya menjadi pensyarah Institut Pendidikan Guru (Kampus Pendidikan Islam, Bangi) pada tahun 2008-2014 dan menjadi pensyarah UPSI bermula pada Ogos, 2014 hingga kini. Bidang kepakaran adalah pendidikan Geografi, Pendidikan Alam Sekitar dan Pendidikan Pembangunan Lestari.


Nasir Nayan kini memegang jawatan Profesor Madya Geospecialist (Gs) di Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Guar Lobak dan sekolah menengah di Sekolah Menengah Padang Serai. Zaman universitinya dimulai di Pusat Pengajian llmu Kemanusiaan iaitu di Bahagian Geografi demi mendapatkan Sarjana Muda Sastera (Geografi) dengan Kepujian dan Sarjana Sastera (Geografi). Seterusnya melanjutkan pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia berpusat di Institut Alam dan Tamadun Melayu. Telah menghasilkan beberapa buku yang berkaitan sistem maklumat geografi, geografi fizikal dan alam sekitar.


Mohmadisa Hashim adalah pensyarah kanan di Jabatan Geografi & Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Telah berkhidmat di UPSI semenjak tahun 2002. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Merlimau (2) dan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Dato' Abdul Rahman Yakub, Merlimau sehingga ke Tingkatan Enam. Memperoleh ijazah pertama iaitu Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Geografi) pada tahun 1996 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan Persekitaran pada tahun 1997 di universiti yang sama. Seterusnya memperoleh Diploma Pendidikan pada tahun 2002 di UKM dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2014 di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Geografi. Minat penyelidikan dalam bidang geografi fizikal, pengurusan persekitaran dan hidro-geomorfologi.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.