image

Buku ini menjelaskan perkaitan perkhidmatan perantaraan dalam proses pengeluaran firma elektronik terutamanya sebelum dan semasa produk dihasilkan. Penulisan berkaitan sektor perkhidmatan perantaraan yang mengaitkan pengeluaran dalam sektor pembuatan tidak banyak ditulis oleh sarjana di Malaysia. Buku ini merupakan langkah awal ke arah perbincangan bagaimana pengeluaran dalam industri elektronik dikaitkan dengan keupayaan yang terdapat dalam komponen perkhidmatan perantaraan termaju. Peranan perkhidmatan perantaraan termaju seperti komponen P&P dan IT sangat penting dalam konteks pengeluaran produk elektronik kerana kitaran hayat produk yang semakin singkat dan memerlukan usaha mencipta dan mengeluarkan produk baharu yang cepat agar tidak ketinggalan dalam pasaran. Keadaan ini menjadikan peranan komponen perkhidmatan P&P dan IT sangat kritikal dalam proses pengeluaran produk elektronik. Buku ini turut membincangkan cabaran sektor industri di Malaysia dalam era Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0). Perbincangan berkaitan dengan komponen utama yang menjadi nadi kepada Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) seperti kemunculan pelbagai perkara yang bersifat superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, suntingan genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memberi cabaran baharu kepada manusia untuk mengoptimumkan fungsi otak dalam setiap perancangan dan tindakan mereka. Buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan pelajar dan pengkaji bidang geografi ekonomi, geografi industri dan geografi perkhidmatan.


Instructor Biography

Fauziah Che Leh adalah Profesor Madya di Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Berkelulusan PhD dan Sarjana Sastera dalam bidang Geografi Perkhidmatan serta ljazah Sarjana Muda bidang Geografi dari Universiti Sains Malaysia. Berpengalaman mengajar dalam bidang Geografi Manusia (Geografi Ekonomi, Geografi Pelancongan, Geografi Penduduk dan Geodemografi) selama 14 tahun. Minat kepada penyelidikan, penyeliaan dan penerbitan beliau adalah dalam bidang pelancongan bandar dan pelancongan kesihatan. Sehingga kini, beliau telah menerbitkan hampir 60 karya dalam bentuk buku, bab dalam buku, artikel jurnal dan prosiding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam pelbagai sub bidang Geografi Perkhidmatan, Geografi Pelancongan dan Geografi Penduduk dan Geodemografi. 

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.