image

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut persekitaran semasa. Bagi ibu bapa muda dan yang bakal bergelar ibu bapa, mereka perlu mempunyai ilmu pengetahuan berasaskan media sosial semasa selaras dengan era pendigitalan dan teknologi maklumat. Harapan ibu bapa, apabila anak-anak dihantar ke tadika, ialah kejayaan dan potensi anak-anak terserlah dan dibugarkan. Ibu bapa mengharapkan anak-anak menjadi pintar cerdas, berbakat, berpotensi dan berjaya dalam akademik apabila melangkah ke alam persekolahan serta peringkat pengajian tinggi kelak. Penulisan buku ini bermatlamat berkongsi idea, pengalaman dan misi dalam mencorak dan membentuk kemenjadian anak-anak sejak mereka di tadika lagi. Buku ini adalah garapan daripada tesis pengarang, dan dibahagikan kepada sepuluh bab bagi memudahkan pembaca memahami dan berkongsi maklumat berkaitan pendidikan anak-anak peringkat tadika. Keseluruhan kandungan buku ini diharap dapat menjadi input dan panduan khususnya kepada ibu bapa muda tentang kepentingan pendidikan anak yang holistik dan kaedah Pendidikan anak yang berkualiti.


Instructor Biography

Dr. Romarzila Omar merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pembangunan Manusia, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Kurikulum dan Pedagogi, Pendidikan Sains Awal dan Matematik Awal, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Penyelidikan kajian Tindakan. Kajian penyelidikan beliau berfokus dalam bidang Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak, Science, Technology, Engineering and Mathematic (STEM), collaborative action research dan Pembelajaran Berasaskan Projek dalam ECCE. Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kurikulum dan Pedagogi (Pendidikan Sains Awal) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana Pendidikan Kurikulum dan Pedagogi (Matematik) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Batu Pahat (MPBP) dan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mempunyai pengalaman kerja sebagai seorang guru dan pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor (IPG KPI) selama 23 tahun. Kini beliau merupakan pensyarah yang mengajar Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda, menyelia pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah di UPSI.

 

Puan Nik Salmi Nurulhuda Mohd Sainain, merupakan seorang pendidik yang bertugas di Pusat Anak GENIUS Negara (PAGN) Alor Gajah, Melaka. Beliau telah berkhidmat sebagai pendidik di Pusat Genius Negara selama 9 tahun bermula pada tahun 2011 sehingga kini. Beliau dilahirkan di Jerantut, Pahang dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan 
dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak. Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan kepujian dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPBM), Kuala Lumpur.


Dr. Ruslan Abdullah merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pedagogi Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), Kuala Lumpur. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Literasi Bahasa Melayu, Pendidikan Kanak-Kanak Orang Asli, Penyelidikan Tindakan dan Penerbitan. Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan (Literasi Bahasa Melayu) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Ijazah Sarjana Penerbitan daripada Universiti Malaya (UM), Diploma Pendidikan dengan kepujian di Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian di Universiti Malaya (UM). Beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru di Sarawak dan Perak selama 12 tahun sebelum bertugas sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru sejak dari 2007 sehingga sekarang. Pengalaman beliau adalah membimbing pelajar-pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Pensiswazah Guru (PPG), Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Pendidikan Awal Kanak-kanak untuk latihan mengajar, pakar kesahan instrumen bagi pelajar Sarjana dan PhD serta penulisan tesis berkualiti.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.