image

BUKU IKHTISAR SURAH PILIHAN: MEMBENTUK PERIBADI QURANI ini merupakan hasil idea dan penulisan pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil.

Al-Quran merupakan panduan dan rujukan utama serta terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan. Ia merupakan inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat, dan hakikat ini mampu digapai melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam ALLAH itu.

Al-Quran perlulah difahami dan dihayati secara kontekstual. Memahami al-Quran secara tekstual atau harfiah boleh membuatkan seseorang berhadapan dengan risiko tersalah faham akan isi kandungannya. Lebih malang, kefahaman itu tergelincir tanpa disedari dan tertipu dengan diri sendiri apabila berasakan kefahamannya benar dan tepat.

Buku Ikhtisar Surah Pilihan: Membentuk Peribadi Qurani ini mengupas mengenai lapan surah yang terdapat di dalam al-Quran. Antara surah yang dipilih untuk menjadi santapan rohani dan intelektual pembaca ialah al-Baqarah, Ali Imran, al-Nisa`, al-Maidah, al-An`am, al-A`raaf, al-Anfal dan al-Taubah. Gaya bahasa yang memfokuskan kepada inti pati dan idea utama sesuatu surah menjadikan buku ini sesuai untuk bacaan umum dalam meningkatkan pengetahuan mengenai asas sesuatu surah pilihan itu.

Didoakan agar usaha dan ikhtiar ini dapat menjadi wadah dalam menyalurkan kefahaman dan menambahkan penghayatan terhadap al-Quran, seterusnya melahirkan individu, komuniti dan negara yang cinta dan berkeperibadian Quran dalam usaha mencapai kebahagiaan duniawi dan ukhrawi, in sha Allah Taala.


Instructor Biography

Ahmad Jamil Jaafar merupakan pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) di Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Syariah (Fiqh dan Usul Fiqh) dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Nik Nurul Akmal Ab Alim merupakan pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) di Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Quran dan Sunnah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Nur Kamilah Kamaruddin merupakan pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) di Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah (Fiqh danUsul Fiqh) dari Universiti Mu`tah, Jordan dan Sarjana Syariah (Fiqh dan Usul Fiqh) dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.