Pandemik: Sejarah dan Pengajaran
Buku ini mengisahkan tentang pandemik yang mengambil sudut pandang sejarah, pengajaran dan anti vaksin. Ketiga-tiga elemen ini dirangkumkan sebagai pemudah cara untuk memberi pemahaman kepada pembaca tentang apa sebenarnya yang berlaku ketika ini. Secara umum, buku ini tidak membahaskan pandemik dari perspektif perubatan dan Sains yang melibatkan teori sains, matematik, fizik dan sebagainya.
Sebaliknya, buku ini lebih melihat kepada perspektif sosial dengan memfokuskan kepada hubungan pandemik dengan struktur sosial masyarakat, impak ke atas politik dan sosial melalui kajian rentas disiplin seperti agama, sejarah, falsafah, sains politik, medieval dan lain-lain. Ini bertujuan melihat dengan lebih dekat apa yang dimaksudkan dengan pandemik dan bagaimana ia merubah seluruh kehidupan kita pada masa kini. Buku ini membawa pembaca keluar dari pemikiran biasa dan rigid yang terikat dengan satu-satu bidang tertentu tanpa mengambil kira elemen-elemen lain dalam pembacaan.
Buku ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bahagian I-Pandemik Pre Moden yang memfokuskan kepada dua pandemik terbesar dunia di era pre moden iaitu wabak Justinian dan Black Death. Dua pandemik ini telah mengorbankan ratusan juta nyawa dan merubah keseluruhan ekosistem dunia. Dengan melihat dari kaca mata sejarah Islam, kita dapat melihat perkaitan antara pandemik ini dengan proses pembangunan dan perkembangan Islam. Melalui dapatan ahli sejarah yang menjalankan penyelidikan ke atas pandemik wabak Justinian, kita dapati bahawa pandemik ini telah melemahkan kekuasaan empayar Kristian Byzantine yang merupakan antara kuasa dunia pada waktu itu.
Keruntuhan struktur kekuasaan Byzantine secara tidak langsung ia memberi kelebihan kepada Islam yang lahir beberapa tahun selepas keruntuhan empayar ini bagi meluaskan pengaruhnya. Selain itu, pandemik Black Death juga telah meruntuhkan sistem feudalisme dan perhambaan yang telah berakar umbi sejak sekian lama di Eropah dan melemahkan pengaruh Kristian Katolik sehingga terbentuknya mazhab baru Protestan.
Manakala di Bahagian II-Pandemik Era Moden pula, pembaca dibawa ke dunia moden untuk melihat sendiri pembuktian secara saintifik tentang pandemik dari perspektif Sains yang menjadi teras dunia hari ini. Ini bagi mengelakkan salah faham dan andaian yang tidak berasas yang seringkali dikaitkan dengan pandemik COVID-19. Penulis membawa pembaca menyelam ke dalam dunia pandemik yang pernah berlaku di dalam sejarah dengan meneliti ramalan saintis tentang kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan berdasarkan dapatan Sains.
Selain itu, pembaca juga dihidangkan dengan informasi tentang idea kewujudan kumpulan anti vaksin dan teori konspirasi yang membolehkan pembaca memahami dengan jelas di sebalik pemikiran kumpulan ini.
Goals/Objectives
Buku ini menceritakan tentang sejarah pandemik dan pengajaran yang diperolehi daripadanya dengan melihat kepada faktor sejarah pandemik yang pernah berlaku sebelum ini.
Instructor Biography
Firdaus Zainal seorang penulis non fiction. Latar belakang pendidikan beliau ialah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Major Sains Politik ) Universiti Sains Malaysia. Beliau berpengalaman dalam penyelidikan sains sosial.
Related Courses
Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.